Sign In
Web Creator

MAJLIS MEMBACA SURAH YAASIN, RATIB AL-ATTAS, SELAWAT TAFRIJIAH DAN DOA KESYUKURAN SEMPENA SAMBUTAN MEMPERINGATI HARI ULANG TAHUN PENUKARAN NAMA BANDAR BRUNEI KEPADA BANDAR SERI BEGAWAN KALI KE-53 TAHUN 2023

IMG_5088.JPG

Majlis Membaca Surah Yaasin, Ratib Al-Attas, Selawat Tafrijiah Dan Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei Kepada Bandar Seri Begawan  Kali Ke-53 Bagi Tahun 2023 telah diadakan pada hari Rabu, 18 haribulan Rabiulawal 1445 bersamaan dengan 04 haribulan Oktober 2023 bertempat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Bacaan Surah Yaasin, Ratib Al-Attas di majlis tersebut dipimpin oleh Yang Mulia Mohd Hasnal bin Haji Mohammad, Imam Tingkat I Masjid Omar ‘Ali Saifuddien. Sementara Selawat Tafrijiah dan Doa Kesyukuran dibacakan oleh Yang Mulia Awang Zulkifli bin Haji Murat, Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

Hadir sama di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara di kalangan penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, Yang Mulia Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di dalamnya serta Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung daripada keempat-empat daerah.

 

Sebagai mengenang jasa Al-Marhum Sultan Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien  Sa'adul Khairi Waddien dalam memajukan dan memodenkan Negara Brunei Darussalam, Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei Kepada Bandar Seri Begawan ini disambut pada 04 haribulan Oktober setiap tahun. Bandar Brunei mula bertukar nama pada 04 haribulan Oktober 1970 dengan ditukar menjadi Bandar Seri Begawan. Pada tahun ini ianya disambut untuk kali yang ke-53 tahun.

 

Kawasan perbandaran Bandar Seri Begawan telah diperluaskan dari 1,287 hektar (12.87 kilometer persegi) kepada 10,036.24 hektar (100.36 kilometer persegi) mulai 1 Ogos 2007. Peluasan perbandaran ibu kota telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan telah diumumkan secara rasminya oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada 19 Julai 2007.

 

Sepanjang tempoh pembangunan Ibu Negara yang dulunya dikenali sebagai Bandar Brunei, berbagai-bagai bentuk kemajuan dan perkembangan pesat khususnya Bandar Seri Begawan telah dicapai dalam pelbagai aspek seperti prasarana, infrastruktur, perhubungan, keagamaan, pendidikan, perekonomian, kesejahteraan, perniagaan, keselamatan, sosial dan sebagainya. 

Created at 7/10/2023 9:41 PG by Syamsul Fikri Bin Hj Takong
Last modified at 7/10/2023 9:41 PG by Syamsul Fikri Bin Hj Takong
Berita Terkini //